SADONG JAYA: Kepayahan hidup golongan warga emas dan orang kurang upaya di kawasan Sadong Jaya terus mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo.

Beliau telah turun padang dan menyerahkan bantuan kerusi roda kepada warga emas dan orang kurang upaya di kawasan Sadong Jaya Tengah.

Sementara itu, Aidel memberitahu, pihaknya menerusi Pusat Khidmat DUN Sadong Jaya sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya sepanjang tempoh negara berdepan wabak COVID-19.

“Hal ini penting kerana bukan negara kita sahaja yang mengharungi iklim ekonomi yang suram, tetapi juga seluruh dunia.

“Jadi, keperluan untuk kita membantu golongan ini adalah amat dititikberatkan,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira kekangan dan komitmen bagi golongan sasar kerana mereka perlu mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk penjagaan kesihatan.