TANJUNG MANIS: Sebanyak dua bot nelayan tempatan jenis C ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan secara menunda kurang tujuh batu nautika berhampiran perairan Tanjung Manat, Khamis lalu.

Kedua-dua bot terbabit dikesan oleh aset Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan Op Permai di kawasan tersebut sekitar jam 4.30 petang.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, hasil pemantauan awal mendapati kedua-dua bot tersebut sedang leka melakukan aktiviti menunda sebelum terkejut diserbu pasukan operasi.

“Seramai 10 kru termasuk dua tekong masing-masing warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 57 tahun berada di kedua-dua bot telah ditahan.

“Turut dirampas iaitu bot serta hasil rampasan ikan campur sebanyak 1,150 Kilogram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.