KUCHING: Wanita hamil dan menyusukan anak harus dibenarkan untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 kerana mereka berhak untuk mendapatkannya.

Pendaftar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Umum Sarawak Dr Abigail Rembui Jerip berkata, ibu hamil dan menyusukan anak harus diberi vaksin.

“Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak perlu dan tidak berasas meningkatkan kebimbangan mengenai vaksinasi tersebut,” katanya semalam.

Jelasnya, bercakap bagi pihak ibu yang bekerja di barisan hadapan, mereka boleh memilih untuk menangguhkan suntikan vaksin tetapi jika mereka ingin mendapatkan vaksin dan permohonan itu pula ditolak, ia akan menjadi isu hak.

Dr Abigail menambah, pembuat dasar tidak boleh mengabaikan kumpulan ini. “American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), dan Persatuan Perubatan Ibu-Janin (SMFM) percaya, sangat tidak beretika untuk menolak wanita hamil mendapatkan suntikan vaksin,” tegasnya.

Beliau yang juga Pensyarah Pelatih Obstetrik dan Ginekologi Unimas berkata, vaksin berasaskan RNA terbukti selamat untuk ibu hamil dan yang menyusukan anak terutamanya dalam kalangan barisan hadapan yang berisiko. “Ramai ibu hamil bersedia mengambil suntikan ini.

Selain itu, ia merupakan vaksin mRNA, bukan vaksin virus yang hidup. Tambahan, apakah kami juga kumpulan berisiko?” soalnya.

Dr Abigail yang juga penyokong penyusuan ibu menyatakan, memberikan suntikan vaksin kepada wanita hamil dan menyusukan anak sangat bagus. “Mengapa kita harus menolak perlindungan daripada virus yang meragut banyak nyawa serta menyebabkan seluruh dunia lumpuh?

“Mengapa peluang untuk dilindungi perlu diragut? “ Ia adalah perlindungan yang boleh saya diberikan kepada bayi saya. Satu perlindungan yang rakan-rakan saya boleh berikan secara pasif kepada bayi mereka yang belum lahir,” tegasnya.

Dr Abigail menegaskan, pembuat dasar perlu henti membataskan dan melanggar hak wanita dalam membuat keputusan untuk kesihatan mereka, bayi yang bakal lahir dan bayi yang baru lahir.

“Data mengenai vaksinasi ada dan kami dapat membaca, menyimpan dan menimbangkan serta membuat keputusan sewajarnya mengenai pengambilan vaksin. “Sesetengah pihak tidak boleh membuat keputusan untuk kami kerana ia hak manusia untuk mendapatkan perlindungan kesihatan yang adil,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kesan sampingan kepada ibu hamil dan menyusukan anak setelah mendapat suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, simptom seakan sama dengan vaksinasi Tetanus, Influenza dan Pertussis.

“Terdapat kesan sampingan yang biasa daripada vaksin tersebut seperti sakit di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, demam, menggigil, atau sakit sendi tetapi ia itu tidak mempengaruhi kehamilan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan semasa hamil sebelum ini, dia mendapat vaksinasi untuk Influenza dan Pertussis. Sementara itu, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, ibu mengandung masih boleh mendapatkan vaksin tetapi perlu berbincang dengan pengamal perubatan terlebih dahulu.

Beliau yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today (FMT), pada 18 Februari menyatakan ibu mengandung masih boleh mendapatkan vaksin jika mereka mahu. Dr Kalaiarasu menjelaskan, KKM mempunyai sebuah jawatankuasa terdiri daripada pakar sakit puan, pakar obstetrik dan pakar pediatrik untuk meneliti masalah tersebut, dan mereka juga berpandu kepada bahagian lain di seluruh dunia.