KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa bagi meneliti dan menangani masalah sosial semasa yang berlaku dalam kalangan mahasiswa.

KPT memaklumkan bahawa jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman dengan keanggotaannya merentasi beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk wakil pelajar daripada institut pengajian tinggi (IPT).

Jawatankuasa itu dibentuk di sebalik hangatnya isu  mahasiswa  terbabit dalam gejala yang tidak bermoral apabila kenyataan daripada aplikasi Sugarbook melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar universiti mendaftar untuk menjadi sugar baby sejak Januari, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit

.Platform itu turut mendedahkan senarai ‘top 10’ universiti sugar baby di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi

Katanya, wakil daripada kementerian yang dilantik terdiri daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.

“Jawatankuasa ini turut disertai wakil pelajar, iaitu Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri; Yang Dipertua Universiti Kuala Lumpur, Ali Hanifah Amran dan Naib Presiden III, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, KPT amat prihatin terhadap pembentukan dan pemerkasaan sahsiah mahasiswa ke arah melahirkan individu bertanggungjawab serta prihatin terhadap ketidakseimbangan dalam pembangunan komuniti sejagat.

“KPT berharap agar penubuhan jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara agensi ini dapat meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalahan sosial mahasiswa secara holistik,” katanya.