KOTA KINABALU: Sudah menjadi lumrah pemimpin atau ahli memilih untuk keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan atau perjuangan parti, kata Timbalan Pengerusi I Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata perkara ini tidak terkecuali dalam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mengumumkan keluar parti hari ini dan menyokong kerajaan negeri pimpinan GRS.

“Pemimpin dan ahli parti akan keluar jika hilang keyakinan kepada pemimpin dan perjuangan parti… kita tidak tahu ke arah mana YB (Yang Berhormat) ini, kita tunggu dan lihat dulu,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp semalam seperti dipetik Bernama.

Bung Moktar, yang juga Pengerusi UMNO Sabah, berkata parti itu mengalu-alukan Hassan A Gani sekiranya beliau memilih untuk menyertainya, bagaimanapun prosedur kemasukan ke dalam parti perlu dipatuhi.

Hassan A Gani, dalam temu bual semalam mengumumkan keluar Warisan atas alasan parti itu masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri tersebut.