KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) memberi bantuan kepada 1,000 murid di negeri ini menerusi Program Kembali ke Sekolah (BTS) sempena dengan pembukaan sesi persekolahan akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bantuan secara sekali itu berjumlah RM200 seorang merangkumi pembelian baju, kasut dan beg sekolah.

“Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam sesi persekolahan kelak,” katanya selepas menyerahkan bantuan tersebut di pejabatnya di Putrajaya, pada Rabu.

Sumbangan berjumlah RM200,000 itu diserahkan menerusi Yayasan Bank Rakyat kepada murid daripada kalangan B40.

Menurut beliau, inisiatif bantuan BTS yang memasuki tahun ketiga itu memberi manfaat  kepada 33,721 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM3.07 juta.

Beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada golongan miskin yang terkesan akibat bencana banjir yang berlaku pada awal Januari lalu.

Bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM200 itu diberi kepada setiap keluarga yang dikenal pasti terkesan akibat kemusnahan dan kerosakan harta benda.

Seramai 500 keluarga mangsa banjir di Sarawak yang memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup akan menerima manfaat ini.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 lagi akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berterima kasih dan menyokong inisiatif Yayasan Bank Rakyat dalam membantu memberikan bantuan kepada masyarakat yang dilanda bencana serta sokongan yang diberikan oleh agensi di bawah Medac.

“Saya berharap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini.  “Ini membuktikan syarikat korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program bantuan persekolahan serta bantuan banjir itu merupakan satu aktiviti kemasyarakatan seiring dengan keprihatinan kerajaan dalam memberi kesejahteraan rakyat serta membantu mereka yang memerlukan khususnya yang ditimpa bencana.

Turut hadir Timbalan Menteri Medac Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha Medac Datuk Suriani Ahmad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Uda Holdings.