
KUCHING: Dalam usaha untuk terus membendung penularan virus maut Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi berkuat kuasa 1 hingga 15 Mac ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), lanjutan tempoh PKPB ini susulan situasi kes positif yang semakin meningkat.
Jumlah kes baharu covid-19 di Sarawak hari ini adalah sebanyak 250 kes. Sibu merekodkan jumlah terbanyak iaitu 104 kes.
“Manakala di Kuching merekodkan 43 kes baharu, Kapit (39); Maradong (13); Bintulu (10); Betong (9); Miri (8); Samarahan (4); Sebauh (3); Subis (3); Julau, Dalat, Beluru, Selangau serta Bau masing-masing 2 kes dan Asajaya, Serian, Saratok serta Song masing-masing satu kes,” kata JPBNS dalam satu kenyataan.
“JPBNS telah memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2021 jam 12.01 pagi hingga 15 Mac 2021 jam 11.59 malam,” katanya.
JPBNS turut memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Dipekatkan (PKPD) bagi Skim Penempatan Semula Sentosa, Fasa 2 di Sibu.
Arahan PKPD ini dibuat selepas penilaian risiko kes positif melibatkan kawasan Sentosa di Daerah Sibu.
