SIBU: Petugas barisan hadapan di sini akan divaksin bermula hari ini, kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee.

Menurut beliau, ia akan membabitkan sebanyak 3,576 dos vaksin yang akan diberikan kepada petugas barisan hadapan untuk Sibu sahaja.

“Pemvaksinan akan diadakan di Hospital Sibu, Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya,” katanya semalam.

Terdahulu, beliau menyambut ketibaan vaksin selamat tiba di Sibu pada jam 2.35 petang tadi.

Vaksin Pfizer-BioNTech yang tiba dari Kuching itu adalah untuk kumpulan pertama petugas barisan hadapan.

Ia dibawa terus ke Pusat Simpanan Vaksin, Pejabat Farmasi Bahagian Sibu di Jalan Awang Ramli Amit menggunakan Asialink Kargo (DHL).

Sejumlah 13,000 dos vaksin keseluruhannya untuk fasa pertama bagi bahagian Sibu yang disimpan di dalam tiga kotak besar.