KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengenai penemuan dua gas baharu melalui penerokaan telaga di perairan negeri ini.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri, perbincangan tersebut berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang akan membawa manfaat lebih besar kepada Sarawak dan Petronas.

“Kerajaan Sarawak sudah dimaklumkan oleh Petronas mengenai penemuan gas di telaga penilaian penerokaan Lang Lebah-2 di Blok SK410B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di Wilayah Luconia Tengah seperti yang diumumkan dua minggu lalu.

“Dan satu lagi penemuan seperti yang diumumkan hari ini (semalam) di telaga Dokong-1 di Blok SK417 terletak berdekatan perairan cetek Daerah Baram, kira-kira 90 kilometer (km) dari pantai Sarawak,” kata kenyataan tersebut.

Menurut laporan terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, CSA dengan Petronas membuka jalan bagi Sarawak terbabit secara aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran sumber minyak dan gas melalui Petros, syarikat minyak dan gas negeri ini.

Jelasnya, CSA memberikan kesepakatan yang lebih baik untuk Sarawak dengan mengembalikan hak negeri melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958, sekali gus memberi keyakinan tambahan untuk memperoleh lebih banyak pendapatan, selain daripada royalti lima peratus.

Sementara itu, syarikat pengendali PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) menerusi anak syarikat milik penuh PTTEP HK Offshore Ltd yang memiliki 80 peratus kepentingan di Blok SK417 PSC mengumumkan penemuan berharga tersebut, manakala Petronas Carigali Sdn Bhd anak syarikat Petronas memiliki 20 peratus penyertaan kepentingan di blok berkenaan.

Dokong-1 ialah telaga penerokaan di kawasan baharu bermula November 2020 dan berjaya digerudi pada kedalaman 3,810 meter pada pertengahan bulan lalu.

Penemuan kolum gas berukuran lebih daripada 80 meter di takungan Pertengahan ke Akhir Miocene Cycle VI-VII mengesahkan lagi potensi baki prospeknya di Daerah Baram.

Selain itu, penemuan gas telaga Lang Lebah-2 di Blok SK410B PSC yang terletak kira-kira 80 km dari perairan Sarawak diumumkan 10 Februari lalu, berjaya dilakukan sehingga kedalaman 4,320 meter pada pertengahan Januari 2021 dengan lebih 600 meter jaminan keuntungan gas bersih. PTTEP HK Offshore Limited juga pengendali untuk blok tersebut yang bekerjasama dengan KUFPEC Malaysia (SK-410B) Limited dan Petronas Carigali Sdn Bhd. berkata, telaga berkenaan telah diuji dan memberi aliran sebanyak 50 juta meter padu gas sehari dengan jumlah gas yang ketara. Blok SK410B dinaik taraf dalam Pusingan Tawaran Malaysia 2015, dengan PSC ditandatangani pada Julai 2016.