KUCHING: Inisiatif Kerajaan Sarawak membangunkan Kampung Digital di Sungai Asap, Belaga akan memberi banyak manfaat dan menyumbang kepada kemajuan sekali gus memudahkan transformasi komuniti digital penduduk.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, antara lain cadangan membina infrastruktur digital dengan Internet berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps di kawasan tersebut adalah untuk menggalakkan penduduknya terlibat dalam ekonomi digital.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk kampung, sekolah, pejabat kerajaan termasuk rumah ibadat di dalam dan sekitarnya. “Bayangkan berapa banyak penduduk Sungai Asap akan mendapat manfaat daripada projek ini.

“Pelajar dapat mengikuti kelas dalam talian, transaksi perbankan dalam talian dan komunikasi melalui pelbagai platform dapat dilakukan dengan sangat mudah,” katanya yang juga Adun Baleh.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata demikian selepas menghadiri taklimat Projek Komuniti Sungai Asap – Kampung Digital di sini, pada Rabu.

Tambahnya, kemudahan tersebut juga akan menggalakkan masyarakat luar bandar menyertai inisiatif ekonomi digital Sarawak serta menimba ilmu pengetahuan dan menggunakan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti SarawakPay dan Smart Government.

“Kita kemudian dapat memperluas inisiatif Projek Kampung Digital ini untuk komuniti lain seperti di Kapit, Bukit Mabong dan kawasan lain di Sarawak yang tidak mempunyai akses Internet,” katanya lagi.

Turut hadir Pengarah Urusan Danawa Resource Rahman Sepawie dan Pengarah Urusan Teknologi Telbina Jerriface Mason.