KUCHING: Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak menyasarkan ekonomi negeri ini berkembang sekitar 6 ke 6.5 peratus tahun ini. Pengarahnya Profesor Dr Muhammad Abdullah berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan ekonomi dunia mengalami unjuran sebanyak 5.5 peratus pada Januari 2021

“Di Malaysia, kita melihat kadar perkembangan antara 6.6 hingga 7.5 peratus tahun ini dan bagi Sarawak, ekonomi dijangka berkembang antara 6 hingga 8 peratus tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, selepas vaksin Covid-19 tiba, ekonomi negara khususnya di Sarawak akan kembali seperti keadaan prapandemik sebelum ini.

“Kita menjangkakan ia akan menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya semasa webinar bersama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) mengenai Vaksinasi Covid-19 dan Impak kepada Perniagaan Sarawak, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu sektor swasta akan menjadi kunci utama dalam menyokong inisiatif pembangunan ekonomi Sarawak. “Saya yakin sektor swasta mempunyai kecekapan modal untuk menyokong pelan pascaCovid-19 melalui Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (MTES).

“Saya berharap lebih banyak lagi sektor kerajaan dan swasta menyumbang kepada ekonomi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mereka supaya ia dapat meningkatkan produktiviti dan menambah pendapatan.

“Dengan kerjasama keduadua pihak, Sarawak mampu mencapai sasaran menuju negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” jelasnya.

Menurutnya, inisiatif yang disediakan memerlukan kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk membantu rakyat dan komuniti perniagaan. “Kami berharap usaha ini dapat diterima oleh komuniti perniagaan dan yang lain.

“Malah, saya yakin usaha ini akan berterusan dan kami berharap akan lebih ramai yang bangkit semula terutama dengan cara baharu untuk menjalankan perniagaan,” ujarnya.