KUCHING: Dua kematian baharu dicatatkan di negeri ini  hari ini melibatkan jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 80 kematian setakat ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kematian pertama membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Betong.

“Mangsa sebelum ini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan selanjutnya kerana keadaan kesihatan kes yang kritikal dan ujian rapid test kit antigen covid-19 adalah positif pada 24 Februari,” kata JPBNS dalam satu kenyataan, hari ini.

“Bagaimanapun mangsa yang mempunyai ko-morbid kencing manis, darah tinggi, gout dan penyakit buah pinggang kronik disahkan meninggal dunia pada hari yang sama,” katanya lagi.

Jelasnya, kes kematian kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang dimasukkan ke Hospital Bintulu setelah disahkan positif covid-19 pada 12 Februari.

“Keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 26 Februari. Mangsa mempunyai ko-morbid darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Sementara itu, jumlah kes baharu covid-19 di Sarawak hari ini adalah sebanyak 250 kes, yang mana Sibu merekodkan jumlah terbanyak iaitu 104 kes.

“Manakala di Kuching merekodkan 43 kes baharu, Kapit (39); Maradong (13); Bintulu (10); Betong (9); Miri (8); Samarahan (4); Sebauh (3); Subis (3); Julau, Dalat, Beluru, Selangau serta Bau masing-masing 2 kes dan Asajaya, Serian, Saratok serta Song masing-masing satu kes,” katanya.