KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh  membidas hukuman pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bakal dinaikkan mulai  11 Mac ini.

Beliau menyifatkan denda berkenaan sebagai kejam, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Jelasnya, RM10,000 boleh menjadi jumlah pendapatan seseorang untuk satu tahun.

“RM10,000 boleh menjadi jumlah pendapatan seseorang untuk satu tahun,” katanya dalam ciapan Twitter miliknya, pada Jumaat.

Orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Menurut laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Ia memaklumkan individu yang melanggar SOP bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bermula 11 Mac.Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.