SIMUNJAN: Seramai 72 orang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Simunjan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Jumaat.

Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan, Dr. Joshua Peterson Legi berkata, mereka merupakan antara penerima vaksin terawal di Daerah Simunjan.

Jelas beliau, bagi fasa pertama semua kakitangan barisan hadapan KKM, bukan KKM dan agensi-agensi lain di Daerah Simunjan telah menghantar nama kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Simunjan.

“Untuk fasa pertama akan meliputi semua staf barisan hadapan KKM Daerah Simunjan dan bukan KKM seperti pihak PDRM, RELA, ATM dan beberapa agensi-agensi lain seperti Pejabat Daerah Simunjan serta Majlis Daerah Simunjan yang telah menghantar nama kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah Simunjan,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Ujarnya lagi, pemberian suntikan vaksin tersebut akan diteruskan pada minggu hadapan dengan melibatkan seramai hampir 200 orang penerima bertempat di Dewan Mesra Simunjan.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar terus menyokong program itu dengan menerima suntikan vaksin dan pada yang sama memberi kerjasama kepada pihak KKM agar sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu dan sentiasa peka kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak KKM.