KUCHING: Sarawak komited untuk menanam sebanyak tujuh juga pokok setahun melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datuk Hamden Mohammad berkata inisiatif itu selaras Program Restorasi Landskap Hutan (FLR), yang merupakan agenda utama Kerajaan Sarawak bagi memastikan sekurang-kurangnya 62 peratus daripada keluasan negeri ini merupakan kawasan litupan hutan.

“Dengan keluasan yang demikian, Sarawak merupakan negeri yang terluas di Malaysia mempunyai kawasan litupan hutan.

“Program ini turut diangkat menjadi agenda nasional untuk menangani perubahan iklim dunia dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Bengkel Polisi, Garis Panduan serta Pelaksanaan Restorasi Landskap Hutan di Damai Beach Resort, di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Hamden berkata FLR juga adalah selari dengan Kempen Penanaman 100 juta Pokok yang dianjurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Januari lalu.

Katanya pelaksanaan FLR di Sarawak merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memulihara dan meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.

Menurut Hamden, jumlah penanaman FLR pada 2020 ialah sebanyak 10,457,250 pokok.

Sehubungan itu, beliau berkata dalam RMK-12, JHS telah menerima peruntukan pembangunan bagi projek Pelaksanaan Pemulihan Landskap Hutan Di Seluruh Sarawak tahun 2021 yang bernilai RM10 juta daripada Kerajaan Sarawak serta dua projek berkaitan restorasi daripada Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM5.5 juta.

Berhubung perkembangan lain, Hamden berkata JHS akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membangunkan sebuah kawasan yang akan dikenali sebagai Taman Dirian Pokok Warisan Sarawak (Belian) Dalam Bandar.

Katanya rancangan ini selari dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada penghujung tahun lepas.

“Kawasan yang dicadangkan ini berkeluasan kira-kira satu hektar dan terletak di Bukit Siol, Kuching,” katanya.

Selain itu, beliau berkata JHS akan membangunkan sistem pengesanan khusus bagi memastikan tiada ketirisan atau manipulasi bagi setiap sumber hutan yang dikeluarkan di negeri ini.

“JHS mempunyai kepakaran dalam pembangunan dan penggunaan teknologi moden serta mempunyai prosedur yang komprehensif yang boleh dijadikan sebagai panduan bagi membangunkan sistem ini nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata JHS juga akan terus menjalinkan kerjasama pintar dengan pelbagai agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan di Sarawak terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Keberkesanan operasi bersepadu ini terbukti melalui beberapa siri operasi Op Rengas yang diadakan sepanjang tahun 2019 – 2020 yang merekodkan penurunan ketara jumlah kes yang dilaporkan,” katanya.