PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 bagi melengkapkan Dasar Perpaduan Negara, yang telah dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Feb lepas.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata PTPN itu menggariskan program-program yang akan dilaksanakan secara inklusif dan komprehensif berdasarkan strategi yang ditetapkan dalam dokumen Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

“Proses dan gerak kerja pelaksanaan PTPN ini akan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di semua peringkat daripada pusat sehingga akar umbi,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun 2021 secara maya menerusi laman Facebook rasmi KPN hari ini seperti dilapor Bernama.

Halimah berkata beliau akan mempengerusikan satu jawatankuasa pelaksanaan bagi memastikan ketiga-ketiga dokumen iaitu Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan PTPN dilaksanakan dengan berkesan dan impaknya dapat dirasai oleh seluruh rakyat di setiap peringkat.

Dasar Perpaduan Negara menggariskan tiga objektif utama iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Halimah berkata beliau akan membentangkan laporan secara berkala mengenai status pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara termasuk PTPN di seluruh negara, kepada Jemaah Menteri.

Sementara itu, Halimah berkata dalam usaha memperkasakan kepimpinan dalam komuniti, KPN telah menyediakan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Rukun Tetangga 2021-2030, yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada Ahad ini.

Beliau berkata pelan itu merupakan satu daripada strategi yang telah digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

Di bawah Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Rukun Tetangga 2021-2030, empat agenda kerja Komuniti Rukun Tetangga (KRT) akan diperkenalkan bagi memastikan program KRT lebih tersusun dan berfokus, selain memperkenalkan kaedah Star Rating yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengurusan KRT di samping menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti kesukarelawanan, katanya.

Menyentuh mengenai pendidikan awal kanak-kanak, Halimah berkata Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan akan diberikan penjenamaan baharu antaranya meliputi peningkatan tahap profesionalisme guru dengan memastikan guru mempunyai kelayakan akademik yang bersesuaian iaitu sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak atau setarafnya.

Di bawah elemen pemantapan kualiti pengajaran dan pembelajaran pula, ia meliputi penyediaan buku aktiviti bagi setiap subjek dengan elemen perpaduan dan kenegaraan; pengenalan asas bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan Tamil; pelaksanaan aktiviti jom urus diri kanak-kanak Tabika Perpaduan dan memperkenal modul berbentuk permainan untuk kanak-kanak bagi membina kreativiti.

“Identiti dan imej Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan akan dipertingkat dengan memperkenalkan logo baharu, kit permulaan dan keseragaman bangunan,” katanya, sambil menambah pelancaran Pelan Pemerkasaan Tabika dan Taska Perpaduan akan diadakan pada 8 Mac