KUALA LUMPUR: Pas mengambil pendekatan politik untuk menyatukan parti-parti, NGO dan NGI Islam dan Melayu di atas Dasar Perpaduan Ummah. Perkukuh MN dan PN  ialah jalan tengah yang diambil bagi mengusahakan perdamaian politik antara Pas, Umno dan Bersatu.

Menurut Ketua Dewan Pemuda pas, Senator Khairil Nizam Khirudin, perdamaian politik ini amat perlu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 yang akan datang.

“Setelah mereka memerintah selama 22 bulan, Pakatan Harapan telah membuktikan mereka adalah mudarat paling besar buat negara kita. Perpecahan ummah adalah nafas baru kepada PH!,’ katanya dalam satu kenyataan.

“Ada yang bertanya kepada saya, sekiranya Pas komited dengan agenda penyatuan ummah dan bersungguh mengajak Umno untuk terima Bersatu, boleh atau tidak Pas menerima parti yang lain, baik yang berasaskan Melayu atau bukan-Melayu?,’ katanya.

Kata beliau, jawapannya boleh dengan syarat tanpa penjajaran politik dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inilah pendirian tegas dan jelas demi agenda kesatuan ummah.

“Itulah formulanya. It’s not rocket science! Sekiranya semua pihak berpegang teguh dengan keadilan dan akhlak Islam, yakni, sabar, berlapang dada, memaafkan, bertolak ansur, tidak terlalu dominasi, tidak mengkhianati konsensus atau perjanjian, InsyaAllah kesatuan ini akan berjaya dan berkekalan,’ tegasnya.

Oleh yang demikian,  kata belioau, Pemuda Pas, Pemuda Umno dan Armada perlu fokus dan memperkasa titik persamaan antara tiga sayap parti ini dan jadikan ia sebagai pencetus kepada pengukuhan agenda kesatuan ummah.

“Percayalah, sekiranya sayap-sayap Pemuda ini boleh bersama, ia adalah masa depan yang cerah buat negara ini,” katanya lagi.