
KUCHING: Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata bagi memastikan program imunisasi berjaya, orang ramai perlu mendaftarkan diri untuk menerima vaksin sebagai langkah untuk melindungi diri dan orang di sekeliling mereka.
Menurut beliau, pendaftaran boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera yang dikemas kini selain mendaftar di klinik-klinik kesihatan kerajaan berdekatan dan pejabat daerah di seluruh negeri.
Jelasnya, bagi yang mempunyai ibu bapa warga usia emas tiada kemudahan telefon pintar, bolehlah mendaftar bagi pihak mereka sebagai tanggungan.
“Bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, boleh mendaftar di Pejabat Daerah melalui Ketua Kampung, Ketua Kaum, Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya dalam satu kemnuyataan.
Jelasnya lagi, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai vaksin yang akan digunakan dalam Program Imunisasi.
“Orang ramai dinasihati agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih mengenai vaksin Covid-19 dan sentiasa berhubung dengan Jabatan Kesihatan sekiranya memerlukan maklumat betul dan tepat.
“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri juga memohon kerjasama semua pihak untuk sentiasa mengikuti nasihat dan perancangan pemberian imunisasi yang akan disalurkan melalui aplikasi MySejahtera termasuklah daripada pihak media,” katanya.
Katanya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi Covid-19 boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Nombor untuk dihubungi ialah 082-473275/ 473276/ 473304/ 473320/ 473345 yang mula beroperasi hari ini, 25 Feb 2021.
