DARO: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penasu bakal berwajah baru selepas Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta di bawah Projek Rakyat untuk memindah dan membina semula sekolah berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, projek berkenaan telah diluluskan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Johari Tun Openg semasa lawatan beliau ke Kampung Penasu pada 2018.

Katanya, kelulusan projek itu memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Abang Johari dalam memperkasa bidang pendidikan di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

“Inilah menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri kita di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri yang telah meletakkan aspek pendidikan ini sebagai satu bidang yang penting.

“Kita sedia maklum bidang pendidikan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tetapi Kerajaan Negeri sanggup membuat pembayaran RM1 bilion secara pendahuluan agar dana tersebut dapat membantu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses menaik taraf atau membaikpulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.”

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah selepas mengadakan lawatan ke tapak projek itu pada Rabu bersama dengan agensi dan konsultan yang telah dilantik.

Safiee berkata sekolah itu bukan sahaja menyediakan pendidikan kepada pelajar dari Kampung Penasu malah termasuk anak-anak dari sembilan buah rumah panjang di sekitar kawasan itu.

Menjelas lanjut, Safiee berkata semua projek yang diluluskan Ketua Menteri semasa lawatannya di kampung itu pada 2018 telah dilaksanakan.

Ujarnya, semua projek yang diluluskan tersebut termasuk projek jalan bernilai RM170 juta.

Sementara itu, Guru Besar SK Penasu, Ibarahim Abang Mahmud, menyambut baik pembinaan semula sekolah berkenaan dan yakin ianya akan menjadi perangsang kepada pelajar sekolah itu untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Katanya, pembinaan semula sekolah itu juga sangat penting dalam menjamin keselamatan pelajar memandangkan sekolah sedia ada ketika ini sudah tidak selamat kerana terdedah dengan hakisan teruk di tebingan sungai Kampung Penasu.

Apabila siap kelak, sekolah berasrama berkonsepkan sebuah kompleks dilengkapi dengan bangunan tiga tingkat itu akan menempatkan 12 bilik darjah, 12 unit kuarters guru dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain.

Proses tender projek tersebut dijangka akan dikeluarkan pada Ogos tahun ini dan pembinaan akan mengambil masa selama dua tahun.