KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Akta Orang Papa 1997 perlu dikaji untuk ditambah baik dalam membantu golongan gelandangan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyeru semua pihak mengkaji kaedah berkesan bagaimana perlu mengeluarkan mereka daripada kepompong yang melingkari golongan tersebut.

“Ada juga berpandangan gelandangan selesa tinggal di jalanan kerana mereka dimewahkan dengan pelbagai bantuan. Wallahualam.

“Apa yang kita harapkan adalah gelandangan dibantu supaya mereka dapat membantu diri sendiri untuk mengubah kehidupan,” katanya dalam satu catatan di Facebook, pagi ini.

Akta Orang Papa 1997 (Akta 183) adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi menjaga dan memulihkan orang-orang papa dan bagi mengawal kutu rayau.

Ahmad Zahid memberi respon demikian apabila menerima gambar gelandangan daripada rakan Facebooknya semalam.

“Sedih menyaksikan kehidupan mereka di sekitar ibu negara seharian. Sanggup tidur beratapkan langit dan berlantaikan kaki lima walaupun ada tempat khas disediakan untuk gelandangan.

“Kita difahamkan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi di Malaysia tahun lalu. Terima kasih kepada agensi kerajaan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang membantu dan menyelamatkan mereka secara berterusan,” katanya lagi.

Namun tambahnya, yang menjadi kebimbangan jumlahnya mungkin bertambah melihat kepada situasi ekonomi semasa.

“Sebilangan mereka dikatakan menjadi begitu selepas mengalami tekanan akibat kehilangan sumber pendapatan atau perniagaan.

“Seorang pakar sosiologi pernah menyatakan isu gelandangan bukan semata-mata tentang makanan, pekerjaan atau tempat tinggal.

“Sebalikya perkara pokok adalah tentang persepsi sosial golongan itu yang berbeza dengan tanggapan umum,” katanya.

Katanya lagi, sebahagian masyarakat juga mungkin beranggapan hidup gelandangan menyeronokkan sedangkan ia tidak selari dengan kehidupan bermasyarakat.