MIRI: Program Imunisasi Covid-19 bagi Wilayah Utara Sarawak akan diketuai wakil rakyat yang akan menerima suntikan pertama seterusnya petugas barisan hadapan pada 6 Mac ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting mengesahkan Miri akan menerima dos vaksin Covid-19 pada 6 Mac.

“Saya bersama-sama menteri kabinet lain serta wakil rakyat akan menjadi individu pertama mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Miri bersama-sama petugas barisan hadapan lain,” katanya.

Sebastian Ting berkata demikian selepas melancarkan Program Fat 2 Fit anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng pada Isnin.

Adun Piasau itu memberitahu, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin bersetuju untuk menerima suntikan vaksin bersama-sama petugas barisan hadapan di Miri. “Seperti sedia maklum bahawa Miri akan menerima vaksin Covid-19 pada 6 Mac ini dan kita (wakil  rakyat) akan mengetuai barisan hadapan menerima suntikan ini,” jelasnya.

Bagi Fasa II dan Fasa III, ia dikhususkan untuk 80 peratus populasi di Miri yang berusia 18 tahun ke atas bermula April 2021 sehingga Ogos 2021 di tujuh fasiliti pemberian vaksin yang telah ditetapkan untuk semua daerah di bahagian Miri.

“Saya menggalakkan semua masyarakat yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 bersamasama kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai Program Fat 2 Fit, Sebastian Ting berkata, ia merupakan usaha terbaik bagi memastikan anggota JPBM Zon 6 sentiasa cergas dan sihat.

“Kita berharap agensi lain mencontohi JPBM Zon 6 yang memastikan setiap anggota cergas dan sihat dalam menjalankan kerja harian,” jelasnya.

Program yang julung kali di Sarawak itu bermula dari 1 Mac hingga 1 Mei depan membabitkan semua kakitangan Zon 6 Miri. Terdahulu, Sebastian menyampaikan 3,000 pelitup muka, cecair sanitasi dan 500 peralatan perlindungan diri (PPE) sumbangan orang awam kepada JPBM Zon 6 Miri.

Ketua JBPM Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim Ah Lian turut hadir.