LAWAS: Seorang wanita warga Brunei ditahan selepas kenderaan dipandunya merempuh sekatan sempadan di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, pagi semalam.

Insiden sekitar jam 10.30 pagi itu menyaksikan kenderaan suspek yang bergerak dari arah Sindumin, Sabah tiba-tiba meluru laju ke sempadan dan terus memecut ke bandar Lawas.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman yang mengesahkan kejadian berkata kenderaan terbabit bagaimanapun berjaya ditahan oleh selepas hampir kira-kira setengah jam dikejar oleh kereta peronda polis (MPV).

Tambahnya, ketika kejadian kenderaan suspek turut menggeser kenderaan polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan untuk menghentikan kenderaan suspek daripada terus melarikan diri.

“Hasil penahanan sebuah kereta jenis KIA Cerato Sedan berjaya menahan pemandunya iaitu seorang wanita berusia 28 tahun dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lawas untuk disoal siasat.

“Pemeriksaan lanjut memdapati suspek memiliki kad pengenalan negara Brunei namun tidak memiliki passport,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dedahnya siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai sejarah masalah mental dan meninggalkan rawatan tersebut semenjak tiga tahun yang lalu.

Susulan itu katanya, suspek akan dirujuk ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan kuarantin dan ujian calitan Covid-19 sebelum siasatan lanjutan dilakukan oleh pihak polis.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.