SARIKEI: Bantuan yang disalurkan membuktikan kerajaan amat peka dengan keperluan sekolah di kawasan Tanjung Manis apatah lagi ketika institusi pendidikan itu sedang giat melakukan persediaan sebelum bermulanya sesi pertama persekolahan Mac depan.

Sumbangan berterusan itu merupakan salah satu komitmen kerajaan dalam memastikan sesi persekolahan berjalan lancar di samping meningkatkan prestasi pelajar dalam segenap bidang.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab menyampaikan sumbangan sebanyak RM65,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Zon Tanjung Manis, semalam.

Antara PIBG yang menerima sumbangan itu ialah PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa Belawai, PIBG SK Abang Buyuk Jerijeh, PIBG SK Abang Galau Rajang, PIBG SK Tanjong Manis, PIBG SK OKMP Paloh, PIBG SK Stalon, PIBG SK Sebayang dan PIBG SMK Belawai.

Sebanyak RM5,000 diperuntukkan kepada PIBG sekolah rendah manakala RM10,000 kepada PIBG sekolah menengah. Pada masa yang sama, beliau turut menyumbang 167 set pelitup muka dan cecair cegah kuman kepada kakitangan sekolah dan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Belawai.

“Kita akan mengagihkan bantuan kepada setiap sekolah di kawasan Parlimen Tanjung Manis secara berperingkat-peringkat. “Sehubungan itu, saya berharap semua penerima memanfaatkan sumbangan dengan sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga berkata, PIBG berperanan penting sebagai platform terbaik ibu bapa dan guru untuk bekerjasama, merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah.

Jelasnya, peranan PIBG bukan sekadar penghubung antara sekolah dengan ibu bapa sebaliknya tunjang kekuatan bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Prestasi akademik dan sahsiah pelajar bukan hanya terletak pada bahu kakitangan akademik sebaliknya ibu bapa juga memainkan peranan sangat penting.

“Kepada semua pelajar, hargailah pengorbanan guru dan ibu bapa, patuhi peraturan sekolah dan hindari perkara negatif yang boleh merosakkan diri sendiri,” tambahnya.