DARO: Pengambilan vaksin merupakan langkah terbaik untuk mencegah Covid-19 di samping menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, setiap individu tidak perlu was-was terhadap vaksin itu kerana kadar keberkesanannya memang terbukti mampu melumpuhkan pandemik berkenaan.

“Pemimpin-pemimpin dunia antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, Ketua Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan juga Presiden A.S Joe Biden sudah menerima vaksin Covid-19 dan hal ini wajarlah kita contohi,” katanya.

Beliau berkata, melihat pola peningkatan kes baharu, pengambilan vaksin adalah sesuatu tindakan yang sangat wajar.

Malah katanya, ia adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan negara boleh bergerak ke hadapan sekali gus mengecapi kemajuan dan kemakmuran.

“Sesi persekolahan boleh dimulakan semula tanpa ragu-ragu terhadap keselamatan anak-anak kita, pemulihan ekonomi boleh segera dilaksanakan dan kita juga  tidak perlu risau keselamatan diri setiap kali kita keluar rumah.

“Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya masyarakat di Daro untuk mengambil vaksin Covid-19 ini demi keselamatan dan kesihatan kita bersama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mengingatkan masyarakat Daro supaya tidak mudah mempercayai khabar angin dan berita yang tidak sahih mengenai vaksin berkenaan.

“Pastikan info yang diterima itu sahih, khususnya dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan dan agensi-angensi kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.