KUALA LUMPUR: Satu sinar harapan, satu titik permulaan penamatan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita.

Itu ungkapan  Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui ciapan ringkas di Twitternya.

Beliau dipercayai merujuk kepada vaksin Covid-19 yang mula diperoleh negara.

Pada Ahad, kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, sebanyak 312,390 dos, tiba di negara melalui pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang.

Vaksin berkenaan pula dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

“Insya-Allah semoga segala iktibar dan usaha diberkati dan kita bertawakkal kepada Allah SWT yang maha Esa supaya kita semua dilindungi,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya pada malam Isnin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin sebelum ini dipetik berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat persiapan rapi untuk memastikan tiada pembaziran dos vaksin berkenaan.