SIBU: Prihatin dengan nasib menimpa penduduk di Sibujaya yang sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong tampil dengan menghulurkan bantuan berupa susu tepung bayi dan kanak-kanak.

Simbolik penyerahan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dilakukan oleh Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapaee bertempat di SRDC Library Sibujaya pada Isnin.

Ia turut dihadiri Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong dan Pengerusi SRDC, Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai.

SUPP Cawangan Dudong sebelum ini juga telah bertungkus lumus dalam membantu mengagihkan bantuan makanan Sarawakku Sayang untuk kawasan DUN Dudong.

Permohonan susu tepung ini banyak mendapat maklum balas semasa sesi live yang dibuat oleh Dr Annuar di Fb Live beberapa hari yang lepas.

Susulan itu, SUPP Cawangan Dudong tampil dengan menyumbang sebanyak 300 paket susu tepung untuk diagihkan kepada mereka yang amat memerlukan di flat dan Townvilla di Sibujaya.

Selain itu, bantuan lampin pakai buang juga disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.