SERIAN: Golongan muda di kawasan Tarat digalak untuk menyertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS) sebagai pasukan bertindak awal dalam membantu pasukan bomba dan penyelamat.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, pembabitan golongan muda sebagai anggota PBS penting untuk menjadi tulang belakang kepada pasukan berkenaan.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan penglibatan masyarakat setempat di Tarat yang terlibat aktif dengan PBS.

“Sebagai contoh, anggota PBS akan memberi bantuan awal apabila berlakunya kejadian seperti kebakaran, banjir dan kecemasan lain sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis serah kunci bangunan PBS Kampung Simpok dan kenderaan pacuan empat roda pada Isnin.

Bangunan PBS Simpok tersebut dibina dengan kos RM60,000 di bawah projek transformasi luar bandar (RTP) manakala kenderaan pacuan emapt roda tersebut melalui dana projek kecil luar bandar (MRP) dengan kos RM30,000.

Hadir sama, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, PgKB II Unjar Lim, Ketua Balai Bomba Siburan, PPgB Sulaiman Ahmat, Ketua Kampung Simpok, John Jingut Simun dan Pengerusi PBS Simpok, Alice Luna Bala.

Sementara itu, Alice Luna memberitahu, setakat ini seramai 43 ahli PBS yang terdiri daripada warga Kampung Simpok, Kampung Sarig dan Kampung Pesa.

“Kami telah bermula dengan mewujudkan Bomba Komuniti pada 2016 sebelum dinaik taraf kepada PBS pada 2017,” jelasnya.

Objektif penubuhan PBS adalah untuk membantu memberikan khidmat nasihat kepada masyarakat setempat terhadap bahaya-bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.

Selain itu, ia juga bagi mengeratkan koordinasi dengan JBPM serta lain-lain agensi berkaitan dengan keselamatan kebakaran.

PBS juga membantu JBPM dalam usaha penjagaan pili bomba yang terdapat di kawasan masing-masing.