KUCHING: Seorang lelaki Pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selepas cuba memasuki Sarawak secara haram menerusi jalan tikus di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) pos Komtek Telok Melano, di sini, hari ini.

Tindakan suspek sekitar jam 8.30 pagi itu dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kompeni B Batalion 10 ketika membuat rondaan Op Benteng di lokasi tersebut.

Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata suspek ketika diperiksa gagal menunjukkan sebarang dokumen sah perjalanan.

“Individu tersebut kemudian diarahkan untuk kembali ke negara asal sambil diiringi petugas Komtek.

“Tiada sebarang kekerasan semasa proses pemeriksaan dan pengusiran dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, individu terbabit mengaku berusia 21 tahun dan berasal dari Arung Parak Indonesia.

Ujarnya, tindakan pengusiran dilakukan selaras di bawah Sek 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).