KUALA LUMPUR: Langkah untuk bekerjasama dan dengan siapa yang  Umno hendak berpakat perlu dipersetujui dan diterima majoriti ahli dan pemimpin UMNO-BN , serta wajar dikaji demi masa depan parti dan juga demi kepentingan bangsa, agama dan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Namun bekas Presiden Umno itu berkata,  apa-apa sahaja langkah yang melibatkan dasar dan hala tuju parti, harus bersandarkan syarat bahawa ia mesti diterima pemimpin dan akar umbi Umno.

Selain itu, katanya lagi, jika sudah diterima, kerjasama itu pula harus berlandaskan keikhlasan dan mempunyai kepercayaan sesama mereka.

Dalam hantaran  melalui Facebbooknya,  beliau  cuba menjelaskan maksud sebenar kenyataan beliau mengenai “kerjasama dengan seteru politik”.

Beliau menjelaskan maksud frasa itu ialah ia  boleh dilakukan sekiranya sesuai dengan parti dan kepentingan negara.

Najib yang juga  Ahli Parlimen Pekan  berkata, beliau mengambil contoh tindakan yang dilakukan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 1973 dengan mengasaskan Barisan Nasional (BN) dan membenarkan kemasukan ‘musuh’ Umno ketika itu – Parti Gerakan Rakyat Malaysia, PPP (Parti Progresif Penduduk) dan juga Pas.

Menurut Najib, pemikiran Abdul Razak pada ketika itu adalah mengenai agenda paling penting iaitu kestabilan dalam negara untuk memulihkan negara.

“Dari (peristiwa) ini, saya diajar bahawa politik ini adalah dinamik dan kita perlu sentiasa kaji apakah langkah boleh diterima oleh ahli-ahli kita yang paling sesuai bagi parti dan kepentingan negara,” kata beliau.