KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut dengan penuh gembira penerimaan vaksin Covid-19  fasa pertama semalam. Selepas bekalan air yang bersih, vaksin adalah senjata paling ampuh untuk memerangi penyakit berjangkit. Setelah hampir setahun kita mengharungi wabak Covid-19 dengan pendekatan kebersihan kendiri, penjarakan fizikal serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita perlu maju ke hadapan dengan vaksinasi.

Ketua Pemudanya Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan sasaran pemberian vaksin kepada 80 peratus rakyat Malaysia bagi membina imuniti kelompok.

Beliau dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesudian untuk mengambil vaksin Covid-19 sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Namun, kita juga berhadapan dengan wabak infodemik. Maklumat yang pelbagai tersebar begitu pantas tanpa sempat usul periksa serta dibayangi oleh agenda yang tersendiri. Prejudis, kekeliruan dan salah faham boleh menjadi penghalang kepada usaha vaksinasi,” katanya.

“Keraguan terhadap vaksin ialah ancaman sejagat yang telah dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Peningkatan penyakit cegahan vaksin berlaku secara mendadak disebabkan merebaknya maklumat salah dan manipulasi makluma,’ katanya lagi.

Oleh itu, jelasnya,  sepertimana pendekatan penjarakan fizikal dan PKP yang memerlukan peringatan dan penegasan secara harian oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan, maka Dewan Pemuda Pas Malaysia mengusulkan agar usaha vaksinasi Covid-19 juga diberikan peluang dan ruang yang sama di media arus perdana.

“Rakyat memerlukan penegasan dan peringatan yang berulang serta terkini bagi memastikan usaha vaksinasi dilihat telus dan benar-benar menjadi jalan untuk kita keluar dari wabak Covid-19. Maklumat dan gambaran yang salah perlu ditepis dengan bukti dan fakta yang boleh diterima umum, ” tegasnya.