MIRI: Seramai 200 orang anggota Bomba dan Penyelamat Zon 6 akan menyertai Program Fat 2 Fit yang merupakan julung kalinya diadakan di Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, ini merupakan satu program yang baik untuk  setiap anggota Bomba menjaga kesihatan fizikal dalam tempoh 61 hari.

Program ini bermula pada 1 Mac sehingga 1 Mei 2021 selama 61 hari.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bahagian Miri Law Poh Kiong bersama dengan kakitangan JBPM Zon 6 dalam menjayakan program ini.

“Ini merupakan satu program yang baik dalam menjaga kesihatan setiap anggota Bomba untuk kekal cergas dan merupakan program yang pertama diadakan di Sarawak pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melancarkan Program Fat 2 Fit JPBM Zon 6 Miri telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut menyampaikan sumbangan peralatan kesihatan kepada JBPM Bahagian Miri.

Sebanyak 500 sut Peralatan Perlindungan Diri (PPE), 3,000 pelitup muka dan 36 botol besar pembersih tangan yang merupakan sumbangan daripada penduduk Bandaraya Miri telah disampaikan kepada Ketua JBPM Bahagian Miri Law Poh Kiong.

Untuk rekod, Bahagian Miri masih berada dalam Zon Merah dengan  jumlah postif COVID-19 terbaru yang dicatatkan pada Isnin ialah 5 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,139 kes.