KUCHING: Rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang dan takut untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) yang juga Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, suntikan vaksin perlu diambil dalam usaha menangani sepenuhnya jangkitan virus tersebut.

Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, kerajaan telah melakukan persiapan rapi bagi setiap prosedur berhubung pengambilan vaksin berkenaan.

“Jangan bimbang dan takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia mampu meningkatkan keyakinan diri dalam memerangi pandemik ini.

“Justeru, saya menggalakkan rakyat khususnya warga dari Pantai Damai untuk mendaftar pada aplikasi MySejahtera meskipun ia tidak diwajibkan buat masa ini,” katanya semasa melancarkan Program Wifi Saluran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Linking Urban Rural & Nation di Kampung Sungai Aur pada Isnin.

Dr Abdul Rahman menambah, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Johari Tun Openg dijangka mengambil suntikan vaksin COVID-19 pada 27 Februari ini.

“Proses tersebut akan disusuli menteri kabinet negeri yang lain,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua kampung dan taman perumahan dalam Pantai Damai kini diliputi kemudahan internet 24.

“Terbaharu Kampung Sungai Aur mempunyai liputan internet menerusi Wifi SMA Linking Urban Rural & Nation atas inisiatif SMA,” jelasnya.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak Adiman Ajem dan Ketua Kampung Sungai Aur Tahir Seman.