BINTULU: Dua lelaki warga Indonesia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Batu 26 Jalan Bintulu-Miri, semalam.

Insiden sekitar jam 8.30 malam itu berlaku selepas motosikal dinaiki kedua-dua mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lori yang berhenti di bahu jalan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, pembonceng dikenali sebagai Sutarno, 28, Siswandi, 33 maut di tempat kejadian manakala penunggangnya Siswandi, 33, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan pekerja salah sebuah ladang sawit berhampiran kawasan kejadian.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit berhenti di bahu jalan ketika dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Miri.

“Tiba-tiba sebuah motosikal jenis Modenas yang datang dari arah Bintulu ke Miri telah melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut turut mendapati kawasan kejadian gelap tidak berlampu, manakala cuaca dalam keadaan baik.

Susulan itu katanya kedua-dua kenderaan terbabit telah dibawa ke balai untuk tindakan pemeriksaan PUSPAKOM.

Ujarnya kes masih lagi dalam siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.