KUCHING: Sarawak mencatatkan dua lagi kes kematian baharu di Sibu akibat Covid-19, sekali gus menjadikan jumlah kes kematian meningkat kepada 76 orang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kematian ke-75 merupakan kes positif ke-5,850 melibatkan seorang lelaki rakyat Sarawak berumur 41 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.

“Kes telah mengalami gejala seperti demam dan batuk selama beberapa hari sebelum mendapatkan rawatan awal dan membuat saringan Covid-19.

“Saringan ujian rT-PCR yang telah dibuat di Hospital Sibu mendapati kes ini positif pada 8 Februari lalu.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan kes semakin merosot dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataa media, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kes kematian ke-76 atau kes positif ke-6,668 melibatkan seorang lelaki rakyat Sarawak berumur 74 tahun

“Kes dimasukkan ke Hospital Sibu apabila keputusan bagi ujian rT-PCR sebagai saringan kontak rapat adalah positif Covid-19.

“Kes tidak mengalami sebarang tanda dan gejala Covid-19 sebelum ini, namun keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 23 Februari lalu.

“Selain itu, kes yang berasal dari Sibu ini mempunyai ko-morbid Parkinson dan mempunyai perkaitan di dalam Kluster Geronggang,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai 133 kes positif Covid-19 baharu hari ini, Uggah memberitahu, Daerah Meradong merekodkan 36 kes, Sibu (28), Betong (17), Samarahan (13), Kuching (12), Bintulu (8), Julau (6), Subis (6), Miri (3) dan satu kes masing-masing di Saratok, Kanowit, Beluru dan Dalat.