KUCHING:  Bagaimanakah Kluster Emperoh Jambu di Kuching tercetus?

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas,  kluster itu membabitkan daerah Kuching, Samarahan dan Serian,

“Ia kluster komuniti yang berlaku di Kampung Emperoh di Pedawan, Kuching,” katanya pada Isnin.

Jelas beliau, indeks kes kluster ini ialah kes ke-7,095, iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun warga tempatan,

Jelasnya lagi, kes ini  dikesan melalui saringan sebelum bertugas pada 16 Feb lalu.

“Kes indeks ini dipercayai telah menjangkiti ahli keluarga beliau yang kemudian berkemungkinjan telah merebak kepada kontak-kontak lain semasa upacara pengebumian ahli keluarga isteri  kes indeks pada 3 hingga 5  Feb 2021,” kata beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Beliau berkata, hasil saringan  dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini dan ahli keluarga, tambahan 59 kes telah dikesan.

Sehingga jam 12 tengah hari 22 Feb, jelas Uggah lagi, sejumlah 337 individu telah disaring.

Daripada jumlah itu, katanya,  60 kes dikesan positif Covid-19, termasuk indeks kes, 40 kes negatif, dan 237 masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes tersebut dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Kata Uggah yang juga Timbalan ketua menteri, Kampung Emperoh Jambu  akan diletakkan di bawah PKPD selama 14 hari bagi tujuan mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“Tiada kematian melibatkan kluster ini,” tegasnya.