SARIKEI: Pesakit terlantar di kawasan DUN terus dibantu melalui khidmat kemasyarakatan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Sehubungan itu, seorang warga emas lagi menerima sumbangan katil boleh laras percuma daripada pemimpin berkenaan.

Sumbangan diserahkan oleh petugas Pusat Khidmat DUN Repok kepada Su Yew Hing, 66, di kediamannya di Jakar semalam.

Pada masa yang sama, mereka turut membantu melakukan pemasangan katil berkenaan sebelum digunakan oleh penerimanya.

Jurucakap pusat khidmat DUN Repok memberitahu, penyerahan sumbangan itu merupakan tradisi Dato’ Sri Huang sejak beliau menjadi wakil rakyat Repok.

Katanya, ia sebahagian daripada keprihatinan pemimpin itu dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan.

“Katil boleh laras ini bukan sahaja meringankan beban pesakit tetapi juga memudahkannya diuruskan oleh keluarga setiap hari.

“Tahun lepas ramai pesakit terlantar di kawasan DUN Repok menerima sumbangan yang sama dan tradisi itu diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya.