Buku 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno  meningatkan kita kepada buku 50 Dalil Mengapa Answar Tak Boleh jadi PM.

Buku berkaitan Anwar disebarkan pada perhimpunan Agung Umno 1998 sebelum beliau dipecat sebagai Timbalan presiden Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Buku berkaitan Zahid dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.

Malah, buku itu sudah tular melalui media baharu, termasuk Whatsapp.

Saya menerima buku berkenaan melalui seorang kawan di ibu kota pada minggu lepas.

Antara isu  atau dalil yang dikemukakan dalam buku itu ialah kes mahkamah Ahmad Zahid,  kegagalan Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sejak beliau menjadi presiden, kes mahkamah, dan penghijrahan ahli parlimen Umno ke parti lain.

Siapa dalang buku ini? Siapakah yang menerbitkan dan mengedar buku itu?

Tindakan menerbitkan buku sedemikian, tanpa nama sama dengan perbuatan lempar batu sembunyi tangan.

Punca kehadiran buku itu amat jelas. Ada yang tidak bersetuju dengan tindakan Zahid mahu mengeluarkan Umno daripada bekerjasama dengan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut cakap-cakap di  ibu kota, tindakan menerbitkan buku tersebut mungkin ada kaitan dengan golongan golongan yang mahu Umno terus kekal dan menyokong PN dan Perdana Menteri.

Mereka ini dikenali sebagai kluster menteri, iaitu menteri Umno yang ketika ini berada dalam Kabinet Muhyiddin.

Jelaslah, kehadiran buku 30 dalil itu bukan tanpa sebab atau asas.

Yang jelas, perbezaan pendirian dalam Umno berkaitan dengan langkah yang perlu diambil oleh Umno ialah pencetus terbitnya buku beracun seperti ini.

Kelihatannya, Zahid tidak duduk diam. Beliau melawan balik segala dalil yang terkandung dalam buku berkenaan. Yang tidak dinafikan, buku seumpama itu dapat mencemar dan merosakkan imej dan reputasi beliau. Ini ialah satu bentuk propaganda hitam atau jahat untuk menyingkirkan beliau.

Ini kerana, ada fahaman mengatakan bahawa jika beliau terus memimpin Umno, parti itu tidak akan meraih kejayaan dalam PRU-15 nanti, lebih-lebih lagi jika beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Justeru, langkah terbaik adalah untuk Zahid berjiwa besar, dengan memberi laluan kepada pemimpin lain.

Itulah sebabnya, penting bagi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk bertindak balas, dengan mengemukakan wacana tandingan.

Adakah sebuah buku seperti itu dapat menjatuhkan Zahid?

Saya tidak fikir ia akan menyebabkan Zahid tersungkur.