SEMUT TIDAK TAMAK

(Ants ain’t greedy) – Maya Green

Semut tidak tamak. Itulah kesimpulan saya pada suatu pagi baru-baru ini. Ketika itu, saya sedang menikmati sarapan pagi yang ringkas di anjung rumah, sekeping roti bakar bersama secawan teh panas.

Semasa makan di atas meja kayu, terdapat sedikit serbuk roti jatuh berselerak. Tidak lama kemudian, saya terlihat beberapa ekor semut beratur memungut serbuk-serbuk roti tersebut. Semut-semut ini mencuri perhatian saya.

Satu persatu, mereka memungut serakan serbuk roti dengan tergesa-gesa bagaikan teruja, lalu membawanya masuk ke dalam sebuah lubang kecil pada meja kayu. Mungkin sarang mereka berada di dalam meja kayu tersebut. Selang beberapa ketika, saya mengamati semut-semut ini hanya mengambil sebahagian sahaja serbuk roti. Mereka hanya ambil secukupnya dan tinggalkan lebihan atas meja, mungkin ditinggalkan untuk jiran mereka, Si Burung atau Si Tupai.

Tiba-tiba kisah Nabi Sulaiman dan semut mengimbau dalam ingatan saya.  Sebuah kisah tentang semut sebagai makhluk pintar dan mempunyai komuniti mereka yang tersendiri, kemas dan tersusun.

Diceritakan, Nabi Sulaiman mampu mendengar bahasa semut dan berbual dengan mereka. Ringkasnya, kita dapat simpulkan bahawa semut wujud dalam keadaan lebih sempurna berbanding manusia. Kebanyakannya, yang kelihatan bekerja keras dan rajin adalah semut betina. Tidak terkejut bukan?

Tentunya, semut adalah salah satu makhluk Tuhan yang luar biasa. Jika kita tahu bahasa mereka, tentu kita boleh belajar sesuatu darinya. Atau pun, walau tidak faham bahasa semut, melihat sahaja tingkah laku mereka dengan lebih teliti mungkin sudah memadai.

Tidak tamak. Teringat anak perempuan saya yang memelihara seekor kucing yang juga tidak tamak.  Namanya Tora. Ia hanya makan yang ia perlu sahaja, walau pun mangkuk dihidangkan penuh dengan makanan kegemarannya. Tora seekor kucing yang amat unik kerana suka makan durian! Seperti saya, Tora tidak akan menolak aroma yang menyengat dari sebiji buah durian. Jadi, apabila saya menikmati durian, saya akan beri Tora sedikit. Kucing ini dan saya, dengan rasa kekaguman pada Si Raja Buah, berkongsi selera yang sama!

Ada kalanya, duduk santai di luar rumah agak menyiksakan. Biasanya nyamuk tidak akan beri peluang. Ia akan kerumun dan hisap darah kita sehingga perut mereka buncit dengan cecair merah. Ada diantaranya tidak mampu terbang lagi kerana terlalu buncit selepas melahap darah. Ada masanya gigitan mereka agak sakit dan gatal. Jika tidak bernasib baik, nyamuk selepas menggigit boleh mengakibatkan penyakit berbahaya melalui penyebaran enzim yang boleh menipiskan sel darah kita. Apabila lapar, nyamuk adalah serangga yang agak rakus. Saya tidak suka nyamuk atau sesuatu yang menyerupai mereka.

Seperti semut, saya lihat burung juga tidak tamak. Isteri saya suka menaburkan butir-butir nasi yang tidak habis di makan di belakang halaman rumah. Dia kata untuk burung-burung. Saya sedar kawanan burung tidak terus hinggap dan mencatuk butir–butir nasi yang ditaburkan.  Kadangkala, mereka mengambil masa satu atau dua hari untuk berlegar dan menyiasat, selalunya memerhati dari jauh di celah pokok-pokok yang berhampiran. Apabila mereka turun ke tanah untuk mencatuk butir-butir nasi tadi, mereka akan bising berkicauan bagai menjemput burung-burung lain berkongsi makanan yang dijumpai. Sungguh mulia hati nurani burung , suka berkongsi apa yang mereka ada.

Ketika saya yang masih duduk berteduh di bawah pokok besar leka mencari-cari semut, sekuntum bunga kertas berwarna campuran merah terang dan merah jambu luruh di hadapan saya. Rasa tenang mula menyelubungi saya. Tentunya,  setiap golongan manusia, tiada yang terkecuali, akan merasa tenang bila melihat kehijauan pohon dan kecantikan bunga.  Ia gambaran sebenar perasaan saya pada pagi itu. Sejujurnya, saya amat suka semua jenis pokok. Pokok adalah di antara ciptaan Tuhan yang hebat. Pokok hanya hidup untuk memberi, beri dan beri lagi. Pokok tidak mengharap sebarang balasan, kecuali harapan untuk sinaran matahari sahaja. Pokok bersifat dermawan unggul, menyediakan tempat berteduh untuk semua hidupan seperti semut, manusia, binatang, burung dan serangga.

Selain tempat berteduh, pokok membebaskan gas oksigen yang segar dan menyerap gas karbon dioksida supaya kita dapat bernafas dengan sempurna. Cuba bayangkan jika kita tiada paru-paru, berapa lama kita boleh tahan untuk bernafas? Ya! pokok-pokok dan hutan adalah paru-paru dunia. Sebatang pokok mampu menyerap 48 paun atau kira-kira 22 kilogram karbon dioksida setahun.

Seperti yang kita tahu, kebanyakan pokok di hutan sudah lama wujud sebelum kita. Namun, ketika hutan yang umurnya ratusan malahan jutaan tahun rakus di tebang, kita hanya mampu memandang sepi. Khazanah terindah kurniaan Tuhan ini kerap dirosakkan dan dibinasakan dengan hanya melalui satu atau dua generasi manusia. Oleh itu, jika kita sentiasa cetek pemikiran dan gagal mengawal sikap tamak, kita bakal hidup dengan penuh sesalan di kemudian hari.

Saya sudah selesai bersarapan. Kelibat semut sudah tidak kelihatan lagi. Tiba-tiba, datang pula hembusan angin yang suka bermain. Angin suka datang dan pergi sesuka hati. Tetapi kita tahu niat mereka baik. Angin sentiasa mendinginkan di hari yang panas, menyegarkan nafas dengan udara yang nyaman dan membawa pergi bau-bauan yang kurang menyenangkan.

Ada kalanya, ketika hampir selesai menyapu daun-daun kering yang gugur di ruang letak kereta di halaman rumah, angin akan datang secara sengaja dan menyepahkan semula ruang itu. Lalu, kita kena sapu semula. Saya anggap angin seperti seorang kanak-kanak. Ia suka bermain dan tidak berdosa. Setiap hembusan angin menyempurnakan hidup kita.

Laut pula seperti seorang ibu. Berhati mulia, penjaga yang baik, penyokong yang kuat dan ada masanya pendisiplin yang tegas. Jika tidak ikut cara mereka, kita bakal di hukum. Namun, laut tetap tidak bakhil dengan pemberian. Laut tidak pernah letih. Ia selalu bergerak bersama angin seperti garisan ombak yang sentiasa selari. Laut memberi peluang untuk air hujan terus menimpa mereka, setitis demi setitis. 

Acap kali, laut sabar menunggu titisan air pulang dari awan di langit atau melalui terusan dan sungai. Ia biarkan airnya tersejat dan kemudian air itu kembali kepada mereka. Kitaran proses ini berlaku berulang-ulang kali hingga tiada penghujungnya. Saya merasa bertuah menyewa di pangsapuri berhadapan laut. Pemandangan dari pangsapuri ini, kelihatan seperti saya di atas laut. Saya boleh lihat bagaimana laut itu seperti hidup, bergerak tanpa henti. Pemandangan laut adalah sesuatu yang mendamaikan. Pesona laut menenangkan jiwa.

Jika melihat pula dataran nan jauh, akan terlihat pula gunung-ganang yang besar. Bagi saya, gunung ibarat ayah. Teguh dan berpandangan jauh. Gunung suka menguji para pendaki atau malim, kerap meletakkan pelbagai cabaran di sepanjang laluannya. Sebuah gunung melambangkan keteguhan diri. Ia berpasak bumi seperti timbunan tanah keras yang jauh tertanam.

Sifatnya yang degil menyebabkan ia sukar dialihkan tidak kira apa jua yang mendatang. Gunung seperti tiang tanda dan penyuluh kepada pengembara yang berbilang lapisan umur atau pun lapisan abad yang berlainan. Ia akan pimpin dan didik mengikut cara mereka tersendiri.  Namun, ada gunung yang paling sukar di daki iaitu gunung yang terdapat di dalam diri kita sendiri.

‘The mountain that we must conquer rests within ourselves’ – Roxana Jones.

Selesai bersarapan, saya mula bangun berdiri, tiada lagi semut untuk diperhatikan pada pagi ini. Perlahan-lahan saya mendongak ke langit. Bagi saya, langit umpama kesedaran. Ia menyimpan bintang-bintang. Pada waktu malam yang terang, caturan bintang boleh di lihat di semua tempat, mewujudkan rasa takjub. Pada waktu siang, langit mempamerkan matahari, sumber kuasa dan tenaga yang menyuluh kehidupan semua makhluk hidup.

Peranan langit banyak dikaitkan dengan imaginasi, mengisyaratkan bahawa pada masa hadapan ada banyak keajaiban dan kebarangkalian yang tersirat. Langit membantu kita merasa kagum dan selalu merangsang persoalan-persoalan paling rumit tentang nyawa dan kehidupan. Terdapat sumber turun-temurun yang menyatakan langit sebagai raksasa dan naga. Ada juga pendapat lain tentang adanya syurga kayangan dan corak-corak bintang seperti haiwan. Namun, apa yang pasti ialah langit mempunyai bintang yang bilangannya tidak terkira. Sesungguhnya, langit akan selalu memainkan peranan bersama mimpi dan impian manusia.

Pagi ini semakin panas. Fikir saya, mungkin semut-semut tadi sedang sibuk menyusun serbuk-serbuk roti di dalam sarang mereka yang dingin. Malam ini saya jangka bulan akan mengambang penuh. Bulan seperti anak gadis yang pemalu, selalu memelihara kesopanannya. Ia jarang menunjukkan seluruh dirinya sendiri, hanya mengintaikan sedikit demi sedikit dirinya pada sesuatu masa. Bulan tidak seperti matahari, setiap hari suka di perhati dan menunjukkan seluruh kekuatannya.

Dengan memberi sedikit perhatian terhadap alam, kita dapat belajar sesuatu. Akhir kata, kita wajib sedar akan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan bumi kita. Mari fikirkan bersama kata-kata ini.

‘Cheat the earth and the earth will cheat you’. – Pepatah Cina.

Semoga bermanfaat.