KISAH sugar daddy yang bersedia membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan khidmat sugar baby bukan isu baharu. Tindakan lelaki berduit mencari perempuan muda, bukan asing dan menjadi rahsia. Dalam dunia moden yang begitu materialistik, ada segelintir perempuan, termasuk pelajar universiti yang sanggup melakukan apa-apa sahaja.

Rata-rata sugar baby berusia dalam lingkungan 20-an atau awal 30-an yang mahu hidup mewah. Keadaan hidup yang serba glamor dan pantas menyebabkan ada daripada mereka ini mahu mencari wang dengan mudah. Jalan terbaik adalah dengan mencari sugar daddy yang kaya dan mewah. Mereka menggunakan platform seperti Sugarbook.

Faktor kestabilan dan kewangan kukuh serta idamkan ‘pucuk muda’ antara punca utama timbulnya gejala memiliki sugar baby.

Tidak kurang juga yang memasuki laman web Seeking Arrangements, platform antarabangsa yang menghubungkan lelaki kaya atau wanita kaya dengan sugar baby atau sugar boy.

Seorang sugar baby melalui satu tulisan mengakui pernah dibayar AS$1,500 untuk dua malam di sebuah hotel lima bintang di ibu kota.

Sebab ahli perniagaan itu memilih sugar baby adalah kerana, akuinya, “mereka masih ketat dan bergetah.”

Tetapi sugar baby itu mengakui, ”Seperti urus niaga dadah, wang segera dan mudah secara tidak langsung membuatkan usaha mendapatkan wang dengan cara sah menjadi kurang lumayan dan sukar.”

Seorang lagi sugar baby mengongsikan pengalamannya. Mengakui berusia 22 tahun dan berbangsa Melayu, perempuan muda itu berkata dia belajar di Kuala Lumpur.

“Saya memilih dua sugar dadies. Satu hanya bertahan selama empat bulan manakala satu lagi masih menaja kehidupan saya sehingga kini. Saya jadi sugar baby kerana ingin membayar kos pembelajaran di KL,” katanya.

Apa yang dilakukannya sebagai sugar baby? Mudah. Tawarkan khidmat untuk menemani dan menyayangi sugar daddy yang, katanya, tidak dilayan oleh isteri mereka. “Jika sugar daddy itu tidak mahu melakukan seks, kami hanya akan cuddle dan saya akan dengar apa-apa yang disembangnya.”

Ini satu lagi catatan sugar baby.

“Sebagai balasan untuk duit poket, aku akan teman di minum-minum di cafe terkemuka, kadang-kadang pergi tengok wayang, kadang ikut dia jalan-jalan naik kereta sambil dengar dia cerita pasal hal kerja. Duit poket yang diberi agak lumayan juga, sekitar RM3000.”

Seorang sugar baby mengakui pekerjaaan sugar baby itu terhitung sebagai pelacuran yang terselubung.

Kata sugar baby berkenaan:”Ada yang menjual foto diri mereka atau melakukan virtual dates. Saya pernah ditawarkan sex video call dan dibayar $600 per video, tetapi saya tidak mau,” katanya.

Tetapi jangan lupa dalam dunia gelap ini, ada juga wanita tua yang mencari sugar boy atau anak ikan. Anak ikan akan diminta untuk menemani dan melayan wanita berkenaan yang sanggup membayar jumlah wang yang besar asalkan dibelai anak ikan.

Sugar baby yang menjadi idaman sugar daddy ialah yang memiliki personaliti, penampilan, dan perwatakan. Paras rupa yang cantik, seksi, dan pandai bergaya tentu akan mudah melonglaikan lelaki gatal.

Perasaan sayang atau cinta serius tidak wujud dalam hubungan berkenaan, sebaliknya lebih atas agenda nafsu dan seks dan kemewahan. Sugar baby gred A, kebanyakan dalam kalangan eksekutif swasta, wanita berkerjaya serta golongan selebriti dikatakan mendapat imbuhan antara RM8,000 hingga RM15,000 sebulan.

Bagaimana istilah sugar baby ini muncul? Pada tahun 50-an, istilah sugar baby dipopularkan melalui filem-filem di Hollywood seperti Breakfast at Tiffany’s dan How to Marry a Millionaire. Ketika itu, sugar dating berlaku semasa mereka berjumpa di kelab malam dan melalui hebahan mulut ke mulut.

Bagi lelaki yang punya wang, memiliki seorang perempuan muda dan cantik yang dapat memenuhi keperluan mereka itu dapat memenuhi fantasi dan imaginasi mereka, termasuk fantasi liar. ”

Golongan sugar daddy dilaporkan bukan hanya dalam kalangan ahli perniagaan, malah turut membabitkan ahli politik, penjawat awam berpangkat tinggi serta pegawai tinggi syarikat swasta.

Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar mendaftar untuk menjadi sugar baby sejak Januari lalu, berpunca daripada krisis kewangan dialami golongan terbabit.

Platform itu turut mendedahkan senarai sepuluh universiti teratas memiliki sugar baby di Malaysia di Lembah Klang. Ini menyebabkan isu ini heboh diperkatakan.

Pengasas Sugarbook telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan aplikasi itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Malaysia menjadi ‘sarang’ kepada 42,500 sugar daddy, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut Seeking Arrangement, laman “Sugar Dating” terbesar dunia.

Sugarbook dilaporkan mempunyai lebih 400,000 ahli aktif terdiri daripada 220,000 sugar babies, 180,000 sugar daddies dan 6,000 sugar mummies di Malaysia. Ini jumlah yang cukup besar!

Hakikatnya, sugar daddy dan sugar baby wujud atas prinsip asas ekonomi, ada permintaan ada penawaran.

Ya, yang penting asalkan anda jangan sampai tergoda dan terpana oleh manisnya gula sugar baby.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara