KUCHING: Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA)  mengecam sebarang kekerasan terhadap wartawan kerana media mempunyai hak untuk menyalurkan berita kepada orang awam.

Untuk itu, Presidennya  Jacqueline David  kesal terhadap insiden kekasaran  terhadap seorang pengamal media di lokasi kemalangan maut di sebuah jalan di tapak pembinaan perumahan di Ulu Bintawa di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, media ialah instrumen penting yang menyumbang kepada kesedaran dan perlindungan hak asasi manusia menerusi laporannya yang akan menggerakkan pihak berkaitan bertindak dan mencegah berlakunya sesuatu perkara.

Tambahnya dalam satu kenyataan di sini hari ini, wartawan dan petugas media antara yang pertama  berada di lokasi kejadian yang kadang-kalanya sanggup mempertaruhkan keselamatan diri mereka.

“Bagi memastikan orang awam mengetahui sesuatu berita, petugas media akan turun ke lapangan supaya berita itu sampai kepada pembaca,” jelasnya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang wartawan akhbar berbahasa Cina ditumbuk sekumpulan lelaki ketika dia membuat liputan kemalangan jalan raya di tapak pembinaan berdekatan Kampung Bintawa Hulu, di sini.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, wartawan lelaki berusia 45 tahun itu sedang membuat liputan kemalangan jalan raya yang menyebabkan seorang lelaki maut di lokasi.

Ketika wartawan terbabit merakam gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia didatangi tiga lelaki lalu memarahinya dan menyuruh wartawan itu memadam semua gambar yang dirakamnya.