LIMBANG: Pemberian vaksin COVID-19 tidak perlu dijadikan agenda politik.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini kerana terdapat segelintir pihak yang menghasut orang lain dengan mendakwa bahawa penyuntikan vaksin itu nanti boleh mengakibatkan kematian.

“Kerajaan pada masa ini mahukan semua rakyatnya sentiasa berada dalam kesihatan yang baik dan selamat. 

“Justeru, kajian terperinci telah dilakukan bagi memastikan penggunaan agar vaksin adalah selamat,” katanya. 

Berucap dalam Majlis Penyerahan Atap Rumah di Rumah Banta Ungi dan Rumah Aping Lajang pada Sabtu, beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menegaskan tiada kerajaan di dunia ini yang mahu melihat rakyatnya menderita dan sakit dalam menghadapi penyakit yang boleh membawa maut itu. 

“Kerajaan sekarang ini adalah bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan rakyatnya serta tahu apa yang terbaik untuk rakyatnya,” tegasnya. 

Mengulas mengenai bantuan atap ini, Datuk Hasbi berkata sumbangan atap ini bertujuan menggantikan atap lama bagi 31 pintu rumah panjang dan enam pintu lagi projek bina baru rumah terjejas akibat kebakaran pada Ogos 2016. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.