Monday, December 5, 2022

Nak kembali kepada Umno: Masuk kelas khas dulu, kata Ku Nan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas segelintir pihak yang tidak henti- henti menyentuh tentang UMNO hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan UMNO sedangkan mereka ini bukan ahli parti pun.

Lebih darpada itu katanya, apabila ada individu yang dulu melompat meninggalkan UMNO sewaktu UMNO hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara ‘manis’

“Ada juga yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan zaman Barisan Nasional (BN)… Ya, barangkali rindu zaman BN,” katanya menerusi kenyataan terbaru dalam Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, jika ada mana-mana yang mahu menyertai UMNO kembali perlulah benar-benar memahami asas dan tujuan penubuhan parti tersebut.

“Nak kembali sertai UMNO… mudah sahaja. Namun sewajarnya masuklah dulu bengkel atau kelas khas bagi memahami asas dan tujuan penubuhan UMNO. Fahami dan hayati setiap nilai perjuangannya kerana tentunya tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat u-turn di atas jalan raya.

“Biarpun nyata pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksana. Tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju kembali walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.

“Memang, kita perlu kembali berpadu demi agama dan bangsa, kita mesti teguh dan kukuh, kita bersaudara dan tidak perlu bermusuhan, tetapi setiap masa yang berlalu selepas tarikh 9 Mei 2018 bukanlah satu kemnisan dan mesti dinilai dengan kesetiaan dan pengorbanan,” katanya lagi.

Ujarnya, sepanjang tempoh UMNO bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian kerajaan, terlalu banyak pengajaran dan pelajaran yang boleh dijadikan tauladan.

“UMNO ditekan, dihimpit, dinafikan dalam pelbagai aspek. Akaun dibekukan dan mana-mana pemimpinnya yang masih setia pada perjuangan hakiki diheret ke mahkamah atas macam-macam pertuduhan yang ada diantaranya di luar kewarasan akal fikiran. Tuduhan tanpa asas tiba-tiba menjadi realiti. Sakit perit tapi patah sayap tetap bertongkat paruh kerana percaya bahawa asas perjuangan adalah demi Lillahi Taala.

“Ketahuilah, UMNO ini parti politik yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu atas kesatuan semangat bangsa demi agama dan tanah air tercinta. Ada air mata keringat yang mengiringi penubuhannya, lahir atas semangat patriotik dan nasionalisme, maka jangan libatkan UMNO atas kebobrokan dan kedangkalan naluri manusia yang haloba. Pangkat dan kuasa tidak akan kemana kerana nusa bangsa lebih utama.”

Tegasnya, pada mana-mana individu, janganlah perguna nama UMNO yang menjadi payung bangsa hanya untuk mendapatkan kuasa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru