KUCHING: Sarawak merupakan negeri utama menjadikan Internet sebagai utiliti asas, kata Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak.

Beliau berkata, inisiatif penambahbaikkan Internet di kawasan Kampung Sibu Laut antara usaha bagi memenuhi kemudahan asas kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Apabila kita meletakkan kemudahan Internet sebagai kemudahan asas, kita perlu memberi perkhidmatan berkenaan kepada masyarakat tanpa mengira kawasan,” katanya.

Tambahnya, penambahbaikkan Internet di kawasan Kampung Sibu Laut antara projek CSR salah satu syarikat tempatan di Sarawak Reach10 Communication Sdn Bhd.

“Menara kekal bakal diwujudkan dengan kerjasama SMA untuk membuat liputan di Kampung Sibu Laut termasuk Kampung Alur,” jelasnya kepada media pada pelancaran WiFi Kamek di Kampung Sibu Laut pada Sabtu.

Majlis itu dilancarkan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. Katanya, menara telekomunikasi tinggi diperlukan bagi mendapatkan capaian Internet lebih meluas.

“Dengan adanya menara kekal tersebut, seluruh kawasan Kampung Sibu Laut dan Kampung Alur dapat menikmati liputan Internet dengan 4G,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Reach10 Communication Sdn Bhd Leo Chin berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan sejak tahun lepas melibatkan tujuh kampung termasuk Kampung Sibu Laut.

Antara perkampungan terlibat iaitu Long Bosan di Belaga, Long Moh di Marudi, Nanga Sumpa di Lubok Antu, Kampung Semilang, Kampung Beradek dan Kampung Tiang Api di Kuching. “Wifi Kamek di Kampung Sibu Laut mempunyai lebar jalur selaju 25Mbps dengan liputan dalam jarak 50 meter,” ujar Leo Chin kepada media.