KUALA LUMPUR: Ujian menghadapi PdPR merupakan medan muhasabah kepada para ibu bapa sejauh mana tekunnya kita membantu anak-anak dalam pembelajaran.

Menurut Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia Salamiah Mohd Noor, mungkinkah selama ini kita sekadar melepaskan semua pada bahu guru-guru tanpa sedikit pun cuba untuk membantu. Waktu inilah kita melihat warna sebenar sifat anak-anak di sekolah.

“Dewan Muslimat PAS Malaysia juga meyakini para guru sebenarnya golongan profesional yang memiliki kekuatan mental yang tinggi dalam menghadapi perubahan kaedah pengajaran. Kami mendoakan semoga para guru diberi kesabaran dan ketabahan untuk memikul amanah yang berat ini. Diharapkan ibu bapa dan guru berusaha menghabiskan masa-masa terakhir PdPR ini dengan berusaha bersungguh-sungguh membantu anak-anak menghadapi pembelajaran. Apabila buka sekolah kelak, semoga anak-anak dapat menghadapi sesi pembelajaran dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sesungguhnya  kata beliau, menghadapi PdPR ini bukan perkara yang mudah.

“Ia perkara baharu kepada setiap guru dan ibu bapa yang terlibat. Apa yang penting, kedua pihak harus bekerjasama membantu anak-anak berhadapan masalah pembelajaran di sepanjang sesi PdPR yang akan berakhir tidak lama lagi,” jelasnya.

Namun, menurut Salamiah lagi,  segala kepayahan dan kesusahan yang dihadapi oleh semua pihak pastinya mendatangkan hikmah yang baik.

“Dalam keadaan ini, guru-guru memperolehi kemahiran penggunaan aplikasi teknologi dalam PdP yang boleh dimanfaatkan juga di dalam kelas. Ibu bapa juga mendapat pengalaman penggunaan teknologi masa kini dalam menjayakan PdP,’ katanya.