PADAWAN: Sembilan lelaki warga tempatan dicekup polis ketika leka bermain judi holo di sebuah premis makan tertutup berhampiran kawasan bandar Batu Kawa , semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata premis tersebut digunakan sebagai pusat perjudian terbabit selepas premis itu ditutup pengoperasian perniagaan untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa.

Menurutnya Ops Limau itu hasil serbuan anggota pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan sekitar jam 6 petang berjaya menahan kesemua suspek berusia lingkungan 47 hingga 62 tahun di dalam premis berkenaan.

“Pasukan serbuan memasuki premis melalui salah satu pintu di bahagian dapur kedai dan masuk lagi melalui satu pintu di kaunter kedai sebelum menjumpai sekumpulan lelaki sedang bermain judi jenis how hey how (holo).

“Kesemua suspek yang berada di dalam premis itu seterusnya ditahan untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, turut dirampas barangan perjudian termasuk wang tunai berjumlah RM3, 711, sehelai kain putih tertera gambar harimau, labu, ayam, ketam, ikan dan udang, tiga biji buah dadu tertera gambar harimau, labu, ayam, ketam, ikan dan udang dan satu set kong aluminium serta penutup.

Dedahnya, hasil semakan rekod polis mendapati salah seorang suspek yang juga dipercayai sebagai penganjur perjudian itu mempunyai enam rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tegasnya kesemua suspek tersebut yang ditahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 akan dipohon reman hari ini.