KUALA LUMPUR: Presiden Umno  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini  mencari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.

Bagaimanapun, katanya, rakyat kini sudah boleh mengetahui bahawa syarat yang ditetapkan oleh Dr Mahathir itu sekadar alasan.

Ini susulan kenyataan Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Um,no itu dalam satu forum bahawa beliau masih sayang akan Umno.

Kata Zahid, Dr Mahathir ketika ini diibarat seperti hilang hala tuju dalam berpolitik.

Menurut beliau, ini kerana ahli Parlimen Langkawi itu memberikan kenyataan bahawa dirinya masih sayang kepada UMNO sedangkan sebelum ini Tun Dr Mahathir sendiri telah menyuruh membubarkan Umno kerana Umno dianggap sudah tiada.

“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘u-turn‘ paling drastik menyatakan beliau bersedia kembali kepada Umno,” katanya.

“Kononnya dengan syarat Umno perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.