BETONG: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) amat diperlukan dalam memastikan komuniti terutamanya di kawasan rumah panjang dan kampung bebas dari jangkitan wabak COVID-19.

Selain itu, KMKK juga harus sentiasa peka dan prihatin dengan isu semasa selain perlu berani menegur sekiranya komuniti di bawah jagaan mereka mengingkari pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Perkara itu menjadi perincian utama Pejabat Daerah Betong semasa Taklimat Kepolisan Komuniti Khas Bagi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Betong 2021 – Siri 3 yang diadakan di Pejabat Daerah Betong pada Jumaat.

Taklimat juga memberi penekanan terhadap SOP bagi upacara kematian dan proses pengebumian serta majlis sosial kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada penularan jangkitan COVID-19.

Menurut Pejabat Daerah Betong, objektif utama penganjuran program adalah untuk memperkasa KMKK untuk memantau, menyelaras dan mengatur aktiviti di kampung dan rumah panjang masing-masing; meningkatkan kesedaran dan membuat publisiti mengenai bahayanya COVID-19; meningkatkan pematuhan pematuhan terhadap SOP COVID-19 dan melaksanakan sebarang bentuk sekatan, amaran atau membuat penahanan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Ia dianjurkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong dengan Pejabat Daerah Betong adalah pelaksana untuk peringkat Daerah Betong.

Siri ketiga yang terakhir itu dihadiri oleh para tuai rumah dari kawasan Padeh dan Layar.

Sementara itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong turut menyentuh mengenai penyakit Rabies dan Denggi yang masih lagi berjangkit di dalam komuniti selain memberi penjelasan mengenai COVID-19.

Antara yang hadir dalam taklimat tersebut Penolong Pegawai Tadbir mewakili Pegawai Daerah Betong, Ludan Lintong; Pegawai dari Pejabat Kesihatan Bahagian Betong, Indra Safi; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibupejabat Polis Daerah Betong, Inspektor Eddy Ladi; Penghulu Kawasan Layar Penghulu Stanley Ejau Erin dan Penghulu Kawasan Padeh, Penghulu Uyok Sunang.