BINTULU: Sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan telah diaturgerak bagi melaksanakan misi bantuan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas kepada dua penempatan rumah panjang di daerah Bintulu, Sarawak yang terputus bekalan makanan akibat sekatan pergerakan 14 hari yang dikenakan kepada penduduk di situ bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Sarawak ekoran terdapat beberapa kes positif. Dua rumah panjang terlibat adalah iaitu Rh. Ugop ak Umpin dan Rh. Saba ak Mergi.

Misi bantuan yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak yang diwakilkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing bersama Kementerian Pertahanan.

Helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron telah bertanggungjawab melaksanakan penugasan bantuan penghantaran ini melibatkan penghantaran sebanyak 2,880 kg bekalan makanan dan keperluan asas seperti beras, sardin, mi segera, telur, minyak diesel, gula dan garam.

Operasi yang diketuai oleh Juruterbang, Mej Megat Suhaide bin Megat Daud TUDM dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapt Shamie Hazim bin Samsu TUDM dan Kuartermaster Udara, PW U I Zakaria bin Othman serta tiga (3) orang anggota kejuruteraan telah melaksanakan penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas yang diambil dari tempat pengumpulan barang bantuan di Lapangan Terbang Bintulu dan seterusnya diterbangkan ke lokasi penempatan rumah panjang tersebut. Misi yang bermula pada jam 10 pagi tadi telah selesai sepenuhnya jam 1.00 petang melibatkan 2 sortie penerbangan.

TUDM yang juga terlibat sebagai satu organisasi barisan hadapan, sentiasa komited dalam melaksanakan tugas dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab. TUDM juga turut mendukung usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat sentiasa selamat dan sejahtera terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada anak kapal serta Bahagian Kejuruteraan No. 5 Skuadron, Tentera Darat Malaysia, agensi-agensi kerajaan, NGO serta unit-unit sokongan yang terlibat dalam menjayakan misi ini.