BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sentiasa memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan di sepanjang penularan wabak pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Dato Mohammad Medan Abdullah dalam kenyataan media COVID-19 Di Sarawak – Komitmen Barisan Hadapan Dapat Perhatian pada Khamis berkata, beberapa program dan aktiviti telah pun dilaksanakan bagi membantu barisan dalam menghadapi kesan COVID-19.

“Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi krisis pandemik COVID-19, terutamanya kepada barisan hadapan komuniti yang amat memerlukan bantuan.

“Sejak tahun 2020, syarikat mensasarkan objektif CSR dan memfokuskan bantuan ke atas krisis COVID-19.

“Ini merupakan antara inisiatif syarikat dalam usaha untuk melindungi keselamatan juga kesihatan kakitangan syarikat, pelanggan dan pengguna pelabuhan,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan, BPHB telah memaparkan poster khas barisan hadapan di beberapa lokasi sekitar bandar Bintulu sebagai tanda syarikat sangat menghargai komitmen mereka dalam memerangi pandemik COVID-19.

Kenyataan media itu turut menambah, pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan BPHB dalam membantu organisasi dan masyarakat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19 termasuklah menyumbang peralatan dan kemudahan perubatan kepada beberapa organisasi kerajaan, hospital, pusat kesihatan, sektor pendidikan dan komuniti setempat.

Begitu juga kepada organisasi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta komuniti setempat dalam sumbangan bantuan keperluan asas.

BPHB juga telah melancarkan kutipan tabung “Bintulu Port Prihatin: Sama-Sama Kita Hulurkan Bantuan-COVID 19” untuk mendapatkan dana sumbangan ikhlas daripada kakitangan syarikat di mana sumbangan keperluan asas ini telah diagihkan kepada 500 keluarga daif daripada 10 kampung di kawasan Bintulu dan menyumbangkan pelbagai keperluan dan sumbangan dana kepada beberapa sekolah di Sarawak pada tahun 2020.

Antara program yang dianjurkan ialah “Program Kembali Ke Sekolah”  yang memanfaatkan seramai 200 murid kurang berkemampuan dalam persediaan kembali ke sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau, SK Kuala Serupai dan SK Kuala Tatau.

“Program Bintulu Port Prihatin” juga telah diadakan di SK Lubok Bemban Mukah, SK Kampung Beraya Miri, SK Kem Batu 18, SK Sebauh dan Politeknik Mukah.