KUCHING: Terdapat 121 kes baharu yang sembuh  dan dibenarkan discaj pada Jumaat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut Datuk Amar Douglas Uggah Embas, 73 adalah  dari Hospital Sibu, PKRC di bawah Hospital Kapit (17), Hospital Umum Sarawak (13), Hospital Miri (10), Hospital Sarikei (4) dan Hospital Bintulu (4).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 5,479 orang atau 71.87 peratus,” katanya pada Jumaat.

Jumlah kes aktif yang masih menerima rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital adalah seramai 2,047 orang.

Uggah turut memaklumkan hari ini sebanyak 238 orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan 11 PUI masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala seramai 632 individu di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel bagi menjalani kuarantin.

Semalam Sarawak merekodkan 199 kes baharu jangkitan Covid-19.

Kes kematian pula meningkat kepada 69 kes dengan dua kes kematian baharu di Sibu.